Buta?
Buta apa?
Siapa yang buta?
Mengapa buta?
Bagaimana jadi buta?
Akibat buta?
Terbiasa orang akan tersinggung, melatah, melenting, marah, berasa hati atau terhina apabila dipanggil, digelar, dituduh atau dikata "BUTA". Mengapa sampai begitu sekali perasaan seseorang apabila dikaitkan dengan buta? Inilah persoalan tentang buta.
Buta, apa itu buta? Yang pasti bila disebut buta, mengikut pandangan umum pasti melibatkan mata. Mengapa mata? Kerana buta bermaksud tidak dapat melihat ketika celik akibat kegagalan mata berfungsi selayaknya.
Benarkah buta itu hanya melibatkan mata?
Apabila disebut buta, ia sebenarnya merangkumi tiga pengertian iaitu tidak dapat melilhat dunia, tidak dapat melihat atau memahami kebaikan dan tidak mempunyai pengetahuan sesuatu ilmu. Ini dapat disimpulkan secara ringkas sebagai buta fizikal, buta iman dan buta ilmu. Mungkin orang tidak akan marah jika dipanggil buta jika dia tidak buta kerana itu boleh diandaikan gurauan. Sesiapa pun akan akur jika memang benar dia buta ilmu yang memang asing baginya. Namun, berlainan jika disebut buta hati. Ego seseorang akan tercalar kerana buta hati itu menandakan seseorang itu kurang keimanannya, walaupun hakikatnya maksiat itu adalah mainannya.
Jika buta fizikal, puncanya kerosakan pada mata atau saraf. Punca kerosakan mata atau saraf ada pelbagai sebab sama ada penyakit maupun masalah kesihatan. Jika buta ilmu, puncanya pastilah tidak menuntut ilmu tersebut. Maka, buta hati pula berpunca dari keengganan mendengar nasihat agama dan nasihat iman. Nasihat agama dan nasihat iman hanya dapat diperoleh dalam majlis ilmu seperti pengajian, kuliah dan ceramah agama.
Jika buta fizikal, akibatnya semua sedia maklum bahawa pergerakan dan aktiviti mereka akan terhad kerana semua aktiviti yang dilakukan seharian memerlukan deria penglihatan untuk lebih sempurna. Buta ilmu akan mengakibatkan sering diperdaya oleh yang punya ilmu. Namun, jika buta hati, derita selepas kematianlah yang akan ditanggung.
Jika buta fizikal, pelbagai cara direka dan dicipta untuk membantu pengidapnya. Buta ilmu, pelbagai institut menyediakan kemudahan meningkatkan tahap keintelektualan. Namun, buta hati, hanya dapat dicari melalui kehadiran ke Rumah Allah (Masjid) yang menyediakan nasihat iman dan agama melalui pengajian, kuliah dan ceramah agama. Buta hati tidak bergantung kepada keintelektuan seseorang, tetapi lebih kepada keinsafan dan kesedaran individu, Bukan sedikit sarjana dalam bidang keagamaan tetapi jauh dari agama Allah. Dan berapa ramai orang yang hanya duduk di kampung tetapi hatinya celik.
Insafilah diri wahai taulan sekalian,
Allah tidak memandang sesuatu kaum berdasarkan harta, pangkat atau warna kulit, tetapi berdasarkan hati kerana hatilah yang akan dibawa apabila jasad dimasukkan ke liang lahad. Hatilah yang akan dinilai oleh Allah. Maka, jika hati buta, bagaimana mahu melaksanakan tuntutan akhirat dengan sempurna sebagaimana buta fizikal, bagaimana mahu melaksanakan tugasan dengan sempurna sesempurna orang yang celik.
jagalah hati jangan sampai hati jadi buta kerana hatilah yang menentukan kedudukan di sisi Rabbi.
Wassalam..........
No comments:
Post a Comment