Search This Blog

Thursday, November 21, 2013

SIAPA YANG BUTA

Buta?
Buta apa?
Siapa yang buta?
Mengapa buta?
Bagaimana jadi buta?
Akibat buta?

      Terbiasa orang akan tersinggung, melatah, melenting, marah, berasa hati atau terhina apabila dipanggil, digelar, dituduh atau dikata "BUTA". Mengapa sampai begitu sekali perasaan seseorang apabila dikaitkan dengan buta? Inilah persoalan tentang buta. Buta, apa itu buta? Yang pasti bila disebut buta, mengikut pandangan umum pasti melibatkan mata. Mengapa mata? Kerana buta bermaksud tidak dapat melihat ketika celik akibat kegagalan mata berfungsi selayaknya.

     Benarkah buta itu hanya melibatkan mata? Apabila disebut buta, ia sebenarnya merangkumi tiga pengertian iaitu tidak dapat melilhat dunia, tidak dapat melihat atau memahami kebaikan dan tidak mempunyai pengetahuan sesuatu ilmu. Ini dapat disimpulkan secara ringkas sebagai buta fizikal, buta iman dan buta ilmu. Mungkin orang tidak akan marah jika dipanggil buta jika dia tidak buta kerana itu boleh diandaikan gurauan. Sesiapa pun akan akur jika memang benar dia buta ilmu yang memang asing baginya. Namun, berlainan jika disebut buta hati. Ego seseorang akan tercalar kerana buta hati itu menandakan seseorang itu kurang keimanannya, walaupun hakikatnya maksiat itu adalah mainannya.

    Jika buta fizikal, puncanya kerosakan pada mata atau saraf. Punca kerosakan mata atau saraf ada pelbagai sebab sama ada penyakit maupun masalah kesihatan. Jika buta ilmu, puncanya pastilah tidak menuntut ilmu tersebut. Maka, buta hati pula berpunca dari keengganan mendengar nasihat agama dan nasihat iman. Nasihat agama dan nasihat iman hanya dapat diperoleh dalam majlis ilmu seperti pengajian, kuliah dan ceramah agama.

    Jika buta fizikal, akibatnya semua sedia maklum bahawa pergerakan dan aktiviti mereka akan terhad kerana semua aktiviti yang dilakukan seharian memerlukan deria penglihatan untuk lebih sempurna. Buta ilmu akan mengakibatkan sering diperdaya oleh yang punya ilmu. Namun, jika buta hati, derita selepas kematianlah yang akan ditanggung.

    Jika buta fizikal, pelbagai cara direka dan dicipta untuk membantu pengidapnya. Buta ilmu, pelbagai institut menyediakan kemudahan meningkatkan tahap keintelektualan. Namun, buta hati, hanya dapat dicari melalui kehadiran ke Rumah Allah (Masjid) yang menyediakan nasihat iman dan agama melalui pengajian, kuliah dan ceramah agama. Buta hati tidak bergantung kepada keintelektuan seseorang, tetapi lebih kepada keinsafan dan kesedaran individu, Bukan sedikit sarjana dalam bidang keagamaan tetapi jauh dari agama Allah. Dan berapa ramai orang yang hanya duduk di kampung tetapi hatinya celik.

    Insafilah diri wahai taulan sekalian, Allah tidak memandang sesuatu kaum berdasarkan harta, pangkat atau warna kulit, tetapi berdasarkan hati kerana hatilah yang akan dibawa apabila jasad dimasukkan ke liang lahad. Hatilah yang akan dinilai oleh Allah. Maka, jika hati buta, bagaimana mahu melaksanakan tuntutan akhirat dengan sempurna sebagaimana buta fizikal, bagaimana mahu melaksanakan tugasan dengan sempurna sesempurna orang yang celik. jagalah hati jangan sampai hati jadi buta kerana hatilah yang menentukan kedudukan di sisi Rabbi.

Wassalam..........

Tuesday, February 2, 2010

.....sambungan HATI - PENENTU HALA TUJU KE ALAM UKHROWI

6. banyak berpuasa (menurut sesetengah ulamak.

Bagaimana 6 perkara itu dapat mengubati hati yang sakit? Mari kita lihat ulasan saya berkenaan peranan 6 perkara tersebut.

Bagaimana membaca Al-Quran dengan meneliti maknanya akan dapat merawat hati yang sakit? Dengan membaca Al-Quran dan meneliti maknanya, pasti aan timbul keinsafan dalam diri si pembaca. Al-Quran itu penuh dengan hikmah, padat dengan peringatan dan nasihat, janji balasan syurga dan neraka, kisah dan tauladan serta banyak lagi. Jika dibaca dengan meneliti makna yang terkandung dalam ayat yang dibaca, sudah pasti lambat laun akan timbul keinsafan dalam diri.

Solat malam pula jika dilaukan dengan istiqomah akan dapat mendekatka diri kita kepada Allah. Dalam keheningan malam yang sunyi dari hiruk-pikuk dunia, hati kita akan lebih tenang ketika mengadap Allah Azza Wa-Jalla. Kita akan menjadi begitu hampir kepada Allah. jika ketika itu kita bermunajat kepada Allah, memohon keampunan dan menyatakan keinsafan, insyaAllah Allah akan memberikan hidah dan taufiknya kepada kita. Dengan itu, akan terawatlah hati ita yang sakit itu tadi.

Zikir yang panjang pada waktu malam umpama memuji dan memuja kekasihnya. Jika berzikir dengan zikir yang panjang kepada Allah, Allah akan dekat kepada kita. hati kita akan menjadi tenang, permohonan kita akan diperkenan, hati kita akan sentiasa dekat kepada Allah dan Allah akan menjadi sayang kepada kita. Samalah halnya jika orang selalu memuji dan merayu kita, kita akan menjadi akrab dan sayang kepadanya. Apabila Allah sayangkan kita pasti kita akan dipelihara daripada sifat mazmumah.

Berkumpul bersama dengan orang alim bermaksud menghadiri setiap majlis keagamaan dan kuliah atau pengajian. Menghadiri pengajian dan ceramah ini akan memberi manfaat kepada kita. Kita akan memperoleh ilmu di samping mendapat perlindungan Allah. Sentiasa berada dalam doa kesejahteraan dan maghfiroh oleh malaikat sedang kita tahu bahawa para malaikat itu sangat dekat dengan Allah, dan pastinya doanya akan dimakbulkan olehNYA.

Bertaubat dari segala dosa kepada Allah dan dosa kepada sesama makhluk mengikut syarat-syarat yang tertentu. Jika berdosa kepada Allah agak mudah untuk memohon keampunannya kerana Allah itu maha pengampun. Yang berat memohon keampunan kepada sesama manusia. Kita kena menyatakan kesalahan kita itu kepadanya. Jika diminta ganti rugi kenalah diberi. Sekiranya dosa-dosa kita dapat keampuman dari Allah dan makhluk, pasti hati kita akan tenang dan sentiasa akrab kepada Allah.

Berkenaan puasa pula, semua telah maklum, dengan berpuasa itu, hati manusia akan menjadi lembut kerana badan yang lemah akan menjadikan nafsu seseorang itu juga lemah. Ini bermakna, jika nafsu lema, maka akal yang akan menjadi kuat dan seterusnya nafsu ammarah itu akhirnya akan bertukar kepada nafsu mutmainnah. Apabila nafsunya telah menjadi nafsu mutmainnah, InsyaAllah syurga adalah tempatnya. Hati yang dapat menundukkan nafsu itu merupakan hati yang sihat.

Kesimpulannya, hati yang baik itu berperanan untuk menunjukkan jalan ke syurga manakala hati yang sakit itu sentiasa mengajak kepada kemurkaan Allah. Hati yang sakit itu sebenarnya telah dikuasai nafsu manakala hati yang sihat itu menguasai nafsu.

WALLAHU A'LAM BISSOWAB.

Sunday, January 31, 2010

HATI - PENENTU HALA TUJU KE ALAM UKHROWI

Bila sebut sahaja HATI kita tidak akan lupa kata-kata " ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut nafsu lesu " Apakah sebenarnya hati itu? sebenarnya hati itu terbahagi kepada dua pengertian. Pengertian pertama ialah salah satu organ dalaman. Bahagian kedua ialah seperti yang sabdakan oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW yang bermaksud " Setiap jasad terdapat segumpal darah ( seketul daging ), apabila baik daging itu maka baiklah seluruh jasadnya dan apabila rosak maka akan rosaklah seluruh jasadnya. itulah hati "


Dalam Islam, hati berperanan untuk menentukan seseorang itu beriman atau kufur, seseorang itu diterima atau ditolak amalan, sikap seseorang itu baik atau sebaliknya. Dengan lain perkataan, hatilah yang akan menentukan syurga neraka seseorang itu. Persoalannya, bagaimanakah untuk memastikan hati itu berperanan membawa seseorang itu ke dalam syurga.

Hatilah yang membawa kepada IMAN, ISLAM dan IKHSAN. Iman itu menentukan seseorang itu Mukmin atau Kufur. Islam pula menentukan seseorang itu sempurna imannya atau tidak. Ikhsan pula meletakkan nilai amalan seseorang sama ada nilainya diterima Allah atau ditolak Allah.Berdasarkan sabda Rasulullah apabila ditanya berkenaan Iman, Islam dan Ikhsan yang bermaksud " Iman ialah percaya kepada Allah, Malaikat, rasul, kitab-kitab, hari kiamat dan kada' dan kadar. Islam pula ialah mengucAPp dua kalimah sahadah, mendirikan solat, puasa di bulan Ramadhan, menunaikan zakat dan mengerjakan Haji di baitullah. Ikhsan pula ialah beribadah seolah-olah melihat Allah dan jika tidak dapat melihat percaya bahawa Allah melihatnya.

Hati seserang itu akan ditanda dengan titik hitam apabila melakukan maksiat atau dosa. Lama kelamaan, hatinya akan penuh dengan titik hitam. Ketika itu, hatinya sudah sukar untuk menerima cahaya kebenaran kerana hati itu seperti cermin. Jika cermin diselaputi kekotoran, maka cermin itu tidak dapat memantulkan cahaya. Hati yang tidak menerima kebenaran, segala nasihat yang berkenaan dengan agama akan dipandang sepi atau dilontar jauh-jauh. Akibatnya , semakin jauh dari rahmat Allah.

Persoalannya, bagaimana untuk menghilangkan titik-titik hitam dalam hati seseorang? Apabila seseorang itu melakukan dosa, kemudian dia berwudhu' dan kemudian solat, maka dosanya akan gugur seperti daun kayu yang gugur akibat goncangan kuat. Namun demikian, jika solatnya tidak disertai ikhsan, maka ianya tidak berfungsi untuk menjadikan dirinya orang yang baik.

Hati yang ada titik hitam perlu diubati kerana sebenarnya hati itu telah ada penyakit. Semakin banyak titik hitam semakin parah sakitnya. Jadi, bagaimanakah mahu mengubati hati yang sakit pada hati ini? Mengapa hati itu perlu diubati? Ini kerana untuk bertemu Allah, Allah tidak akan melihat muka dan harta benda seseorang itu, bahkan Allah hanya melihat hati dan amalan seseorang itu.

Untuk itu, ubat bagi hati yang sakit ini adalah seperti berikut:

1. Membaca Al-Quran dengan memerhatikan maknanya.
2. Solat malam hendaklah dilakukan.
3. Membaca zikir pada waktu malam
4. Bertaubat kerana dosa-dosa yang kita lakukan
5. berkawan atau bergaul dengan orang alim.

bersambung..........

Thursday, January 28, 2010

DERITA SI FAKIR

Sudah menjadi kelaziman yang terkadang menjadi kezaliman apabila hadir Si Fakir dalam sesuatu penempatan akan wujud satu tanggapan buruk terhadap mereka. Tanggapan mereka malas, berat tulang, hanya mengharap simpati orang lain dan macam-macam lagi telah sering kita dengar. Namun yang kita jarang dengar mereka akan mengatakan "syukur ada Si Fakir di kawasan kita, dapatlah juga kita bersedekah".

Mengapakah tanggapan itu mereka hamburkan? Pada saya, ianya adalah kerana sikap kedekut dan berkira yang bersarang di hati mereka. Kita sering lihat, jika anak kecil mempunyai sesuatu, tiba-tiba datang kawan yang mereka tidak sukai, pasti mereka akan menyorokkan kepunyaannya itu atau paling tidak akan mengadu kepada ibunya bahawa kawannya itu cuba nak ambil kepunyaannya. Mengapa mereka berbuat demikian? kerana tamak. Cuba kita lihat pula tabiat haiwan peliharaan seperti ayam dan kucing apabila memperolehi rezeki. Semua yang menghampiri akan dihalau atau dimaki. Kenapa? Jawapannya masih lagi kerana tamak.

Tahukah mereka deritanya Si Fakir? Barangkali telah lama mereka tidak dapat makanan yang enak. Atau mungkin sehari suntuk mereka belum makan. Atau mungkin mereka mempunyai anak kecil di rumah yang sedang menangis kelaparan. Cuba kita bayangkan, seandainya kitalah Si Fakir itu. Apakah kita mahu diumpat dengan pelbagai andaian yang mereka sendiri tidak pasti? Apakah memang kita suka dikeji hina lantaran kemiskinan? Saya pasti kita semua tidak menyukainya.

Terfikirkah mereka bahawa Si Fakir itu sebenarnya inginkan kekayaan seperti Si Kaya? Terfikirkah mereka mengapa Si Fakir itu fakir? Tahukah mereka sejak bila Si Fakir itu fakir? Terfikirkah mereka apakah mereka sanggup menjadi fakir seperti fakirnya Si Fakir? Yang pasti, mereka hanya memikirkan bagaimana harus mereka mengelakkan diri dari memberikan sesuatu kepada Si Fakir. Apa yang lebih malang lagi, mereka akan menghasut orang lain dengan menyampaikan hujjah bahawa Si Fakir itu tidak perlu dibantu oleh mereka.

Mereka ini sering sakit hati apabila melihat Si Fakir membeli makanan di luar. Mereka tidak akan puas hati apabila melihat Si fakir keluar rumah untuk ke destinasi yang mereka sendiri tidak pasti apa tujuannya. Mereka menohmah seolah-olah mereka telah berhabis-habisan membantu Si Fakir tersebut. Mereka menganggap Si Fakir tidak layak membeli makanan di luar. Cukup makan apa yang ada sahaja. jangan di layan kehendak anak. Mereka juga beranggapan Si Fakir tidak layak untuk keluar dari kampung walau apa tujuan sekali pun.

Hati saya jadi begitu terhiris apabila Si Kaya menohmah Si Fakir kerana kefakirannya. Saya pernah menjadi Si Fakir dahulu. Betapa sakitnya hati apabila dihina oleh Si Kaya. Walau apa keadaan sekalipun, saya yakin bahawa Si Fakir tidak layak menerima penghinaan. Apa yang layak baginya adalah penghormatan. Ini kerana Si Fakirlah yang akan meringankan beban HISAB di Padang Mahsyar kelak.

Saya ingin mengingatkan, bahawa sesungguhnya harta yang Allah kurniakan kepada kita sebahagiannya adalah untuk Si Fakir. Jika kita tidak mahu memberikannya maka sesungguhnya kita telah tidak menunaikan hak Si Fakir. Janganlah dengan alasan mereka tidak mahu ke masjid atau bermasyarakat maka mereka dinafikan hak menerima sebahagian harta kita. Bagaimana mereka mahu bermasyarakat jika masyarakat sering berprasangka buruk kepada mereka.

Bersyukurlah kerana hidup selesa dengan memberikan sumbangan kepadsa Si Fakir semoga sumbangan ikhlas itu nanti kan menyebabkan kita akan selesa juga di akhirat. Amin......

Tuesday, January 26, 2010

SOLAT - MUDAH YANG SERING DIPERMUDAHKAN

Apa itu solat? Saya memang tidak berkelayakan untuk membicarakan tentang solat, tetapi umum telah mengetahui apa maksud solat dari segi bahasa dan syarak.

Dari segi bahasa ia bermaksud doa mankala dari segi syarak ia bermaksud sesuatu perbuatan yang dimulai dengan takbir dan di akhiri dengan salam dengan syarat-syarat tertentu.

Mengapa saya mengatakan solat itu mudah? Kerana kita sebenarnya boleh melaksanakan solat di mana sahaja kita berada hatta di dalam air. Kita boleh melaksanakan solat dengan memakai apa sahaja fesyen pakaian asalkan menutup aurat. Kita boleh melaksanakan solat ini pada bila-bila masa asalkan masih dalam waktunya. Tidakkah itu mudah?

Tetapi ia sering dipermudahkan oleh umat islam hanya dengan alasan-alasan remeh. Mereka memberi alasan tiada tempat untuk solat. Mereka tiada kain atau songkok untuk solat. Pakaian mereka kotor. Tidak sempat solat kerana waktu rehat pendek dan sebagainya. Mengapa saya katakan semua alasan yang diberi itu remeh.

Dalam Islam tidak menentukan tempat untuk solat, yang penting suci. Untuk mendapatkan tempat yang suci bukan sukar, mana-mana tempat boleh jadi suci jika dilapik sekurang-kurangnya dengan surat khabar.

Dalam Islam tidak menentukan jenis pakaian yang harus dipakai untuk solat, asalkan suci dan menutup aurat. Bagi lelaki, sekadar memakai singlet dan berseluar panjang di bawah lutut sudah memadai. Bagi perempuan pula, memakai baju kurung longgar dan bertudung labuh yang menutup hingga bawah dada sudah memadai. Tidak semestinya memakai telekung.

Persoalannya, mengapa kita memandang mudah soal solat. Mengikut penelitian saya, puncanya adalah kerana pertama tidak dilazimkan ketika masih kanak-kanak. kedua kerana pengaruh alam sekitar dan kekawan. ketiga kerana lemah iman, keempat kerana kekurangan ilmu. kelima kerana tidak ingat mati keenam kerana tidak sayangkan agama islam dan akhir sekali kerana tidak takut siksaan Allah.

Pengalaman saya semasa bekerja sebagai buruh kasar (Buruh binaan)tahun 1984 di Pelabuhan Kuantan sementara menunggu keputusan STPM, saya terpaksa solat Zohor pada waktu rehat jam 3.00 hingga 3.15. Hari Jumaat saya minta kerja separuh hari sebab nak pergi solat Jumaat. Masjidnya terletak 5km dari tempat kerja. Masa pergi ada yang bawa ( askar laut ) tapi bila balik terpaksalah jalan kaki kalau tak dapat bas. Rupanya perlakuan saya itu diperhati oleh majikan saya hinga akhirnya dia bertanya, mengapa saya solat hingga 5 kali sehari. Apabila saya jawab orang Islam memang kena solat 5 kali sehari dia bertanya pula kenapa mereka yang lain tidak berbuat demikian? Saya jadi serba salah. Saya tak tau nak jawab apa. Jadi, saya menjawab "mereka itu bukan penganut Islam yang baik". Apa yang saya tulis itu bukan hendak menunjukkan saya seorang penganut islam yang baik, tetapi sebagai iktibar bahawa tiada alasan untuk kita meninggalkan solat.

Mari kita renungkan maksud hadis yang bermaksud : Perkara yang mula-mula dihisab di Padang Makhsyar adalah solat. Jika sempurna solatnya, maka mudahlah hisabnya, Sebaliknya jika solatnya tidak sempurna, akan sulitlah hisabnya. Ada dinyatakan bahawa hukuman meninggalkan solat 1 waktu sahaja adalah masuk neraka selama 80 tahun kiraan akhirat. 1 hari di akhirat sama dengan 1000 tahun kiraan dunia. Cuba kita bayangkan jika kita tidak pernah bersolat selama kita hidup. ALLAHU AKBAR......

Walau bagaimanapun, perkara yang perlu kita ingat ialah, sedangkan kita solat pun belum tentu masuk syurga, inikan pula kalau kita tidak solat. Mengapa demikian? kerana kita masuk syurga bukan kerana solat kita, tetapi kerana rahmatnya. Rahmat Allah pula hanya akan turun berdasarkan amalannya. Allah telah berjanji akan memberikan balasan baik kepada orang yang melakukan amalan baik, sedangkan Allah tidak pernah memungkiri janji.

Monday, January 25, 2010

NILAI DIRI

Kita adalah sebaik-baik kejadian di bumi Allah ini. Dari proses percantuman benih hinggalah kepada kesempurnaan kelahiran dan seterusnya keupayaan mengurus dunia. DAri setitis mani yang mengandungi berjuta benih hanya satu yang terbaik berjaya memasuki rahim ibu dan seterusnya membesar dengan hanya mengharapkan zat dari ibu. Setelah kelahiran yang penuh dramatik, diberi makanan terbaik di dunia yang dibekalkan oleh ibu.

Kita akan mula menyesuaikan diri dengan alam. proses tumbesaran kita amat sistematik sehingga apabila proses itu cuba diringkaskan atau dipanjangkan, ia akan memberi kesan negatif kepada perkembangan akal. Dengan akal yang dibekalkan oleh Allah, kita menjadi mudah untuk belajar dari mengenal dunia hingga mentadbir dunia.

Mengapa kita begitu istimewa? Kerana kita dibekalkan akan dan nafsu sekali gus. Malaikat hanya dibekalkan akal, manakala haiwan hanya dibekalkan nafsu. Dengan memiliki kedua-dua perkara itu menjadikan manusia sentiasa berjuang mencari kebenaran. Keinginan untuk berjuang itu adalah tuntutan nafsu manakala mencari kebenaran itu adalah tuntutan akal.

Seandainya manusia itu hanya melayan nafsunya sahaja, maka kehidupannya tidak jauh berbeza dengan mawas atau gorila. Begitu juga seandainya manusia hanya menurut akal semata-mata, maka dia tidak akan mampu melaksanakan tuntutan Allah dengan berkesan.
Ini bermakna mereka tidak akan ada keinginan kerana keinginan itu adalah nafsu.

Apabila kita telah mengenali diri kita, di mana hendak kita meletaknya nilai diri kita. Apakah sebaris dengan haiwan. Atau nak menjadi malaikat? Sesungguhnya manusia yang dapat menundukkan nafsu dengan akalnya akan lebih mulia disisi Allah berbanding malaikat. Namun harus diingat, pengiktirafan Allah tentang kejadian kita yang terbaik itu hendaklah mencakupi dua syarat iaitu BERIMAN dan BERAMAL SOLEH.

Jadi nilai sebenar kita itu bergantung kepada siapa kita di sisi Allah. Apakah kita ini menjadi sebaik-baik ummah. Jika kita menjadi salah seorang yang bertindak mengajak orang berbuat kebaikan dan mencegah dari melakukan kemungkaran, maka berhasillah kita menjadi sebaik-baik ummah. Apakah kita menjadi orang yang beruntung? Jika kita menjadi orang yang sentiasa memberi nasihat tentang kebenaran dan menasihatkan orang supaya sentiasa bersabar dalam apa jua hal, maka jadilah kita orang yang beruntung.

Kesimpulannya, Nilai kita menjadi sangat tinggi ( Solohin, Muttaqin, Mukminin, Mukhlisin ) di sisi Allah jika kita beriman, beramal soleh, mengajak orang berbuat kebaikan, mencegah orang dari berbuat maksiat, sering berpesan kepada kebaikan dan menasihati orang supaya bersabar. Oleh itu marilah kita berazam untuk menjadi ummat terbaik di MATA ALLAH.

Saturday, January 23, 2010

RUMAH USANG INI

Rumah usang ini,
dulu sebuah teratak bertiang empat
tanpa dinding dan bumbung
pemiliknya yang terpilih
di antara yang terbaik
yang akhirnya menjadi pondok
yang selesa dihuni.

Rumah usang ini,
dulu sebuah pondok comel
kurang kemampuan menampung
keluarga yang kian mengembang
pemiliknya yang bercita-cita
akhirnya menjadi rumah
yang kelihatan gah dan indah.

Rumah usang ini,
kini agak kusam
pemiliknya kurang bermaya
untuk menambah ceria
hingga rumah ini
bagai tiada penghuni.

Rumah usang ini,
akan tiba masanya
ditinggalkan penghuninya
tika itu,
pemangsa akan memamah
musnah-ranah
tanpa ada yang kesah dan resah
selain pasrah.

KEKAYAAN DAN KEMISKINAN

Kekayaan dan kemiskinan adalah dua keadaan seperti minyak dengan air. Kekayaan sering dipandang positif manakala kemiskinan sering dipandang negatif. Si Kaya dipandang mulia sedangkan Si Miskin dipandang hina. Si Kaya diagung walhal Si Miskin dinista.

Cuba kita renungkan, siapakah yang mengimpikan dirinya menjadi miskin dan papa-kedana? Orang miskin yang memang dari keluarga miskin di negara miskin sekalipun tidak berhasrat untuk menjadi miskin, walhal di sekeliling mereka adalah dari golongan yang sama dengan mereka dan mereka tidak pernah tahu bagaimana keasdaan orang kaya. Jika kita tanya kepada anak kecil sekalipun jawapan yang kita peroleh adalah sama - tidak mahu menjadi miskin.

Mengapakah ada orang miskin dan orang kaya? Apakah Allah sengaja mahu menganiaya orang miskin? Kalau itu tujuan Allah, tentu Allah akan dituduh sebagai ZALIM. Sebenarnya tidak sama sekali. Allah MAHA ADIL sehingga keadilan Allah itu tidak terjangkau oleh akal. Oleh yang demikian, sudah pasti ada rahsia di sebalik kaya dan miskin ini. Saya akan cuba kupas melalui dua sudut pandangan, iaitu sudut pandangan dunia dan sudut pandangan agama.

Kita lihat dari sudut pandangan dunia. Kita bayangkan jika penduduk dunia semuanya kaya, siapakah yang akan menjadi pekerja atau buruh. Siapa yang akan membantu membina bangunan-bangunan pencakar langit. Siapa yang akan menjadi pelayan di gedung-gedung perniagaan. Siapa yang akan memandu kenderaan untuk mereka memasarkan produk mereka? Siapa yang akan menguruskan ladang-ladang mereka? Siapa yang menjadi operator industri-industri mereka? siapa.....? Bayangkan pula jika penduduk dunia semuanya miskin. Siapa yang akan mengambil mereka sebagai pekerja industri, sebagai pemandu, sebagai pengurus, sebagai buruh-buruh kasar, sebagai........ siapa?

Kita lihat dari sudut pandangan agama pula. Cuba kita bayangkan jika semua penduduk dunia ini semuanya kaya, bagaimana mereka nak bersedekah jariah. Siapa yang akan menerima wang zakat harta benda mereka? Siapa yang akan bekerja membina rumah ibadat mereka? Siapa yang akan membuat pakaian untuk mereka beribadah? Siapa yang akan menerima daging kurban dan daging aqiqah mereka? Akhirnya, siapa yang akan membantu mereka memasuki syurga sedangkan khisab di padang mahsyar amat ketat bagi mereka yang kaya? Begitu juga sebaliknya, jika penduduk dunia semuanya miskin, siapa yang memberikan kepada mereka sedekah? Siapa yang akan memberikan kepada mereka wang zakat, daging kurban, daging aqiqah. Siapa yang akan memberikan mereka kerja untuk nafkah anak dan isteri? Sedangkan Nabi Muhammad pernah bersabda yang bermaksud : Kefaqiran itu boleh membawa kepada kekufuran.

Cuba kita renungkan kata-kata ini; Sesungguhnya sebahagian dari harta kamu itu ada hak bagi orang miskin. Siapa yang tidak melaksanakan hak orang miskin, bersedialah untuk mendapat azab Allah di akhirat kelak. Orang kaya dan orang miskin itu ibarat satu bangunan yang saling kuat menguatkan antara satu sama lain. Batu bata yang tersusun itu tidak akan kuat jika tidak diikat dengan simen. Itulah sebenarnya khikmah mengapa dijadikan orang kaya dan orang miskin selain untuk menilai keimanan mereka.

Oleh itu, Si Kaya hendaklah bersyukur dengan adanya Si Miskin kerana dengan adanya Si Miskinlah maka mereka boleh melaksanakan tuntutan Allah seperti zakat dan bersedekah. Jangan sekali-kali sebagai Si Kaya, kita menghina Si Miskin. Ini kersna Rasulullah ada bersabda maksudnya ; Allah tidak memandang ( memuliakan )sesuatu kaum itu pada muka dan hartanya yang melimpah-ruah, tetapi Allah memandang sesuatu kaum itu kerana ketulusan hati dan amalan kebajikan mereka. Bagi Si Miskin pula, jangan sekali-kali menghinakan diri mereka dengan mengemis tanpa cuba berusaha mencari nafkah. Ingatlah pesan Rasulullah yang bermaksud; Tangan yang mengumpulkan kayu api lalu menjualnya untuk mencari nafkah keluarga itu adalah lebih mulia daripada orang yang hanya mengharapkan kasihan-belas(mengemis) dari orang kaya.