Search This Blog

Monday, January 25, 2010

NILAI DIRI

Kita adalah sebaik-baik kejadian di bumi Allah ini. Dari proses percantuman benih hinggalah kepada kesempurnaan kelahiran dan seterusnya keupayaan mengurus dunia. DAri setitis mani yang mengandungi berjuta benih hanya satu yang terbaik berjaya memasuki rahim ibu dan seterusnya membesar dengan hanya mengharapkan zat dari ibu. Setelah kelahiran yang penuh dramatik, diberi makanan terbaik di dunia yang dibekalkan oleh ibu.

Kita akan mula menyesuaikan diri dengan alam. proses tumbesaran kita amat sistematik sehingga apabila proses itu cuba diringkaskan atau dipanjangkan, ia akan memberi kesan negatif kepada perkembangan akal. Dengan akal yang dibekalkan oleh Allah, kita menjadi mudah untuk belajar dari mengenal dunia hingga mentadbir dunia.

Mengapa kita begitu istimewa? Kerana kita dibekalkan akan dan nafsu sekali gus. Malaikat hanya dibekalkan akal, manakala haiwan hanya dibekalkan nafsu. Dengan memiliki kedua-dua perkara itu menjadikan manusia sentiasa berjuang mencari kebenaran. Keinginan untuk berjuang itu adalah tuntutan nafsu manakala mencari kebenaran itu adalah tuntutan akal.

Seandainya manusia itu hanya melayan nafsunya sahaja, maka kehidupannya tidak jauh berbeza dengan mawas atau gorila. Begitu juga seandainya manusia hanya menurut akal semata-mata, maka dia tidak akan mampu melaksanakan tuntutan Allah dengan berkesan.
Ini bermakna mereka tidak akan ada keinginan kerana keinginan itu adalah nafsu.

Apabila kita telah mengenali diri kita, di mana hendak kita meletaknya nilai diri kita. Apakah sebaris dengan haiwan. Atau nak menjadi malaikat? Sesungguhnya manusia yang dapat menundukkan nafsu dengan akalnya akan lebih mulia disisi Allah berbanding malaikat. Namun harus diingat, pengiktirafan Allah tentang kejadian kita yang terbaik itu hendaklah mencakupi dua syarat iaitu BERIMAN dan BERAMAL SOLEH.

Jadi nilai sebenar kita itu bergantung kepada siapa kita di sisi Allah. Apakah kita ini menjadi sebaik-baik ummah. Jika kita menjadi salah seorang yang bertindak mengajak orang berbuat kebaikan dan mencegah dari melakukan kemungkaran, maka berhasillah kita menjadi sebaik-baik ummah. Apakah kita menjadi orang yang beruntung? Jika kita menjadi orang yang sentiasa memberi nasihat tentang kebenaran dan menasihatkan orang supaya sentiasa bersabar dalam apa jua hal, maka jadilah kita orang yang beruntung.

Kesimpulannya, Nilai kita menjadi sangat tinggi ( Solohin, Muttaqin, Mukminin, Mukhlisin ) di sisi Allah jika kita beriman, beramal soleh, mengajak orang berbuat kebaikan, mencegah orang dari berbuat maksiat, sering berpesan kepada kebaikan dan menasihati orang supaya bersabar. Oleh itu marilah kita berazam untuk menjadi ummat terbaik di MATA ALLAH.

No comments:

Post a Comment