Search This Blog

Saturday, January 23, 2010

KEKAYAAN DAN KEMISKINAN

Kekayaan dan kemiskinan adalah dua keadaan seperti minyak dengan air. Kekayaan sering dipandang positif manakala kemiskinan sering dipandang negatif. Si Kaya dipandang mulia sedangkan Si Miskin dipandang hina. Si Kaya diagung walhal Si Miskin dinista.

Cuba kita renungkan, siapakah yang mengimpikan dirinya menjadi miskin dan papa-kedana? Orang miskin yang memang dari keluarga miskin di negara miskin sekalipun tidak berhasrat untuk menjadi miskin, walhal di sekeliling mereka adalah dari golongan yang sama dengan mereka dan mereka tidak pernah tahu bagaimana keasdaan orang kaya. Jika kita tanya kepada anak kecil sekalipun jawapan yang kita peroleh adalah sama - tidak mahu menjadi miskin.

Mengapakah ada orang miskin dan orang kaya? Apakah Allah sengaja mahu menganiaya orang miskin? Kalau itu tujuan Allah, tentu Allah akan dituduh sebagai ZALIM. Sebenarnya tidak sama sekali. Allah MAHA ADIL sehingga keadilan Allah itu tidak terjangkau oleh akal. Oleh yang demikian, sudah pasti ada rahsia di sebalik kaya dan miskin ini. Saya akan cuba kupas melalui dua sudut pandangan, iaitu sudut pandangan dunia dan sudut pandangan agama.

Kita lihat dari sudut pandangan dunia. Kita bayangkan jika penduduk dunia semuanya kaya, siapakah yang akan menjadi pekerja atau buruh. Siapa yang akan membantu membina bangunan-bangunan pencakar langit. Siapa yang akan menjadi pelayan di gedung-gedung perniagaan. Siapa yang akan memandu kenderaan untuk mereka memasarkan produk mereka? Siapa yang akan menguruskan ladang-ladang mereka? Siapa yang menjadi operator industri-industri mereka? siapa.....? Bayangkan pula jika penduduk dunia semuanya miskin. Siapa yang akan mengambil mereka sebagai pekerja industri, sebagai pemandu, sebagai pengurus, sebagai buruh-buruh kasar, sebagai........ siapa?

Kita lihat dari sudut pandangan agama pula. Cuba kita bayangkan jika semua penduduk dunia ini semuanya kaya, bagaimana mereka nak bersedekah jariah. Siapa yang akan menerima wang zakat harta benda mereka? Siapa yang akan bekerja membina rumah ibadat mereka? Siapa yang akan membuat pakaian untuk mereka beribadah? Siapa yang akan menerima daging kurban dan daging aqiqah mereka? Akhirnya, siapa yang akan membantu mereka memasuki syurga sedangkan khisab di padang mahsyar amat ketat bagi mereka yang kaya? Begitu juga sebaliknya, jika penduduk dunia semuanya miskin, siapa yang memberikan kepada mereka sedekah? Siapa yang akan memberikan kepada mereka wang zakat, daging kurban, daging aqiqah. Siapa yang akan memberikan mereka kerja untuk nafkah anak dan isteri? Sedangkan Nabi Muhammad pernah bersabda yang bermaksud : Kefaqiran itu boleh membawa kepada kekufuran.

Cuba kita renungkan kata-kata ini; Sesungguhnya sebahagian dari harta kamu itu ada hak bagi orang miskin. Siapa yang tidak melaksanakan hak orang miskin, bersedialah untuk mendapat azab Allah di akhirat kelak. Orang kaya dan orang miskin itu ibarat satu bangunan yang saling kuat menguatkan antara satu sama lain. Batu bata yang tersusun itu tidak akan kuat jika tidak diikat dengan simen. Itulah sebenarnya khikmah mengapa dijadikan orang kaya dan orang miskin selain untuk menilai keimanan mereka.

Oleh itu, Si Kaya hendaklah bersyukur dengan adanya Si Miskin kerana dengan adanya Si Miskinlah maka mereka boleh melaksanakan tuntutan Allah seperti zakat dan bersedekah. Jangan sekali-kali sebagai Si Kaya, kita menghina Si Miskin. Ini kersna Rasulullah ada bersabda maksudnya ; Allah tidak memandang ( memuliakan )sesuatu kaum itu pada muka dan hartanya yang melimpah-ruah, tetapi Allah memandang sesuatu kaum itu kerana ketulusan hati dan amalan kebajikan mereka. Bagi Si Miskin pula, jangan sekali-kali menghinakan diri mereka dengan mengemis tanpa cuba berusaha mencari nafkah. Ingatlah pesan Rasulullah yang bermaksud; Tangan yang mengumpulkan kayu api lalu menjualnya untuk mencari nafkah keluarga itu adalah lebih mulia daripada orang yang hanya mengharapkan kasihan-belas(mengemis) dari orang kaya.

2 comments:

rerama salju said...

Betul Ustaz,

Kaya didunia tak semestinya kaya di sana....kerana dunia ini satu persinggahan cuma....malah terkadang kekayaan itu adalah Ujian Maha Hebat tuhan pada kita,semoga kita tidak termasuk dalam golongan yang leka,Wanauzubillahiminzaalik,...

tapi beruntungkan kalau kaya didunia dan diakhirat?

cikgusiberwave.blogspot.com said...

oleh yang demikian, banyakkanlah bersedekah agar kita akan terus kaya di akhirat.

Post a Comment